Sabtu, 26 Februari 2011

PERBANDINGAN KARYA PENYAIR D KEMALAWATI (ACEH) DENGAN ZEAN KASTURI (MALAYSIA) OLEH DJAZLAM ZAINAL


CAHAYA, MASUKLAH KE DALAM SAJAKKU & SUATU MALAM KAUBANGUN MENANGKAP SEPI
oleh Djazlam Zainal pada 02 Juli 2010 jam 23:17

De Kemalawati dan Zaen Kasturi merupakan penyair generasi muda dua negara serumpun yang mempunyai banyak persamaan pemikiran, wawasan dan sudut pandangan ketuhanan. De Kemalawati dilahirkan pada tahun 1965, di Meulaboh, Aceh Barat,Sumatra, Indonesia sementara Zaen Kasturi dilahirkan pada 1964, di Kuala Sungai Baru, Melaka, Malaysia. De Kemalawati berkelulusan Universitas Syiah Kuala Banda Acheh dan Zaen pula berkelulusan Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Dalam ruang yang hampir sama, kedua-dua mereka menjadi penyuluh kepada kelasterian dunia puisi Indonesia-Malaysia. Sama-sama menyuarakan keanggunan sosio budaya yang diikat dengan tabaruk dan takwa. Justeru, amat bersamaan mereka berdua dalam menghayati dunia puisi mutakhir ke dua negara ini.

Dua puisi yang akan diperbandingan di sini ialah Cahaya, Masuklah ke dalam Sajakku ( De Kemalawati, 2 Juli 2010 ) dan Suatu Malam Kaubangun Menangkap Sepi ( Zaen Kasturi, 1994 ) Dalam CMkdS, De menulis,

aku tak ingin kegelapan merendah matahari
biar sajaknya menjelma cahaya
melebihi terangnya selaksa tata surya
aku tak ingin riaknya mengalahkan gelombang pagi
biarkan pasangnya meninggi arus
di luas samudra biduknya menjauh

riap-riap mengapungkan lembar daun
hanya di tepian
di pandang mata kita yang terpinggir

aku tak ingin menungkan kegelapan
hanya karena sepenggal lilin
yang mengejap dihembus angin padu

pelan dan pasti mata ini akan terpejam
dalam sajak terang melebihi matahari siang

Zaen Kasturi dalam puisi SMKBMS menulis seperti ini;

entah apa yang menusuk tidurmu suatu malam - tanpa
dentang jam atau suara cengkerik atau basa-basi derap embun
atau kertapan angin mengusik daun jendela. kaubuang dengkur
yang tak pernah tertangkap oleh telingamu sendiri. segalanya
menjadi dendam kepada sunyi yang sedemikian lama aman
dalam damainya - sebelum terbit kata pertama. kaugamit
sunyi ke kamar sukmamu. kauingin lebur dalam diam, menguras
azamat dendam

" sejak sedemikian lama menikmati tidur, pernahkah kau terfikir
bahawa itu adalah sebahagian daripada maut? " tanya suaramu
yang terbit dari sunyi

( di luar, sunyi mendakap sepi )

Ternyata dan jelas sekali kedua penyair ini kembali menyuarakan pemikiran yang samsaric dan penghidupan yang dipenuhi dengan bayangan maya suatu tapak kesusasteraan yang telah kukuh di dunia Islam. bagi mencapai kefahaman yang sempurna tentang kesusasteraan Islam, tiga unsur daripada pembinaannya perlulah difahami terlebih dahulu:
1. Pencapaian spritual atau maqam spritual seniman
2. Objek yang mampu dihasilkan, dan
3. Pencapaian spritual khalayak pembaca, penikmat dan pengguna.

Tujuan sastera dalam Islam ialah mendidik dan membantu manusia ke arah pencapaian ilmu. Bentuknya juga diberi penekanan selain mesej dan makna.

Dalam sajak CMsdS, De menulis,

aku tak ingin kegelapan merendahkan matahari
biarkan sajaknya menjelma cahaya

Sudah tentu bait ini membayangkan bahawa tulisan sajaknya bukan untuk khayalan yang diungkapkan dalam " tak ingin kegelapan merendahkan matahari " Merendahkan matahari ialah merendahkan ilmu atau cahaya keimanan. Malah disebutkan juga, " biar sajaknya menjelmakan cahaya/ melebihi terangnya selaksa tata surya " Ini memungkinkan sajaknya itu lebih bercahaya daripada matahari yang berjuta-juta banyaknya. Dan bait seterusnya dalam perenggan pertama ini memberi konotasi makna yang sama.

Perenggan kedua juga masih memberi makna yang sama iaitu;

" riap-riap mengapungkan lembar daun
hanya di tepian
di pandang mata kita yang terpinggir "

De kukuh dengan pendiriannya dengan menyatakan;

" pelan dan pasti mata ini akan terpejam
dendam sejak terang melebihi matahari siang "

Kekukuhan mandiri penyairlah yang menunjukkan bahawa keampuhan filsafat yang harus dikekalkan.


Zaen dengan teguh menyatakan,

" kaubuang dengkur
yang tak pernah tertangkap oleh telingamu sendiri. segalanya
menjadi dendam kepada sunyi yang sedemikian lama aman
dalam damainya - sebelum terbit kata pertama. kaugamit
sunyi ke kamar sukmamu. kauingin lebur dalam diam, menguras
azamat dendam "

Puisi merupakan salah satu jenis filsafat. Kerananya penyair harus menyempurnakan dirinya dengan ilmu mantik ( logik ) Ini dirasai dalam kebanyakan puisi Zaen. Disamping keluasan sarana fasafahnya, Zaen mengejapkan dengan roh Islam, magis dan ada kalanya rasis. Ini sangat bertepatan dalam al-Qur'an,... Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu? Hanya orang-orang yang mengerti yang dapat memikirkan ( Q.S.39:9 ) Firmannya lagi,... Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat ( Q.S.58:11 )

De lahir di daerah yang sinomin dengan panggilan Serambi Mekah yang mana sejak zaman berzaman Islam menjadi sarung dan pakaian warganya. Zaen dilahirkan di Melaka yang merupakan pintu masuk Islam ke tanah Melayu. Sesungguhnya latar ini memperkukuhkan kedua penyair ini mensenjang ilmu Islam sebagai terasnya berkarya. Jika al-Qur'an itu ibarat Dhat Yang Maha Tinggi, maka setiap satu daripada kesusasteraan Islam itu adalah ibarat sifat yang memanjangkan atau melangsungkan Dhat itu ke alam kejadian. Yang demikian, berawaslah dengan hasil kesusasteraan yang dihasilkan kerana amaran Allah dalam surah Asy-Syu'araa ayat 224-227 yang bermaksud... dan penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat, yang memperkatakan sesuatu yang mereka tidak buat melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut Allah...dan surah Luqman yang bermaksud... Dan di antara manusia ada orang yang mempergunakan perkataan-perkataan yang tidak benar dan tidak berguna untuk menyesatkan ( manusia ) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab dan menghinakan. Wallahu A'lam..

*Djazlam Zainal, kritikus sastra tinggal di Melaka

Tidak ada komentar:

Posting Komentar